Ini Kisah Susah Payah Lelaki Dapatkan Semula Duit Tiket Dari AirAsia

Susulan pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu, tidak dinafikan ramai yang tidak dapat ke luar negara untuk bercuti susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, siapa sangka tindakannya membeli tiket penerbangan ke Kemboja untuk percutian keluarga tahun lalu menjadi proses yang melelahkan sehingga perlu naik turun mahkamah.

Memetik portal Malaysia Now, Nagendran berkongsikan dia dan keluarga merancang untuk melancong ke Kemboja pada Ogos Namun, percutian itu terpaksa dibatalkan apabila negara perlu menutup sempadan bagi membendung wabak daripada terus menular.

Menurut Nagendran, apa yang merumitkan adalah cara syarikat penerbangan AirAsia Bhd mengendalikan situasi itu yang dikatakan tidak profesional sejak dari awal lagi.

Kata Nagendran, pihak penerbangan itu memaklumkan kepadanya mengenai jadual penerbangan mereka hanya melalui e-mel tidak rasmi.

Malah, dia tidak menerima menerima bayaran balik bagi tiket berharga hampir RM5,000 yang dibelanjakan dan hanya ditawarkan kredit tiket yang boleh digunakan untuk tempahan perjalanan akan datang.

Apa yang membuatkan rasa tidak puas hati, dia mahukan bayaran balik secara tunai dan bukan secara kredit serta menyifatkan ianya jualan yang mengelirukan oleh pihak AirAsia.

Mahu mendapatkan haknya semula, Nagendran kemudian tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM) pada Julai tahun lalu. Namun, disebabkan Covid-19, perbicarannya akhirnya dijadualkan pada Januari lalu.

Namun, lebih mengecewakan apabila diberitahu mahkamah tidak dapat mendengar kesnya kerana ia bukan berada di bawah bidang kuasanya.

Tidak berhenti disitu, dia kemudian mendapatkan mediasi daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Mavcom bertindak sebagai pengantara antara syarikat penerbangan dan pengguna, dan salah satu fungsinya adalah menyediakan mekanisme bagi melindungi syarikat penerbangan tersebut.

“Mavcom berkata mereka akan mengambil tindakan, tetapi ia hanya cakap kosong. Tiada tindakan yang jelas diambil bagi memaksa AirAsia membuat pembayaran,” katanya.

Tidak berputus asa, Nagendran segera pergi ke Mahkamah Tuntutan Kecil di Shah Alam pada April lalu apabila ada peluang menjengah.

Difahamkan, dia tidak diwakili peguam kerana plaintif di mahkamah ini mesti mewakili diri mereka sendiri. Perbicaraan ditetapkan pada Mei lalu, namun AirAsia tidak hadir walaupun dimaklumkan melalui pos berdaftar.

Susulan itu, majistret menetapkan bayaran balik kepada Nagendran sebanyak RM4,727.20 dengan tambahan kos RM100.

Namun, pihak AirAsia sekali lagi tidak memberikan maklum balas walaupun pemberitahuan dihantar pada 9 Jun dan peringatan diberikan pada 30 Julai. Terus berjuang demi haknya, Nagendran pergi semula ke mahkamah untuk memfailkan tuntutan surat tunjuk sebab.

Kes itu ditetapkan pada 13 Oktober lalu, namun ternyata tiada wakil dari AirAsia. Akhirnya, majistret mengeluarkan waran tangkap disebabkan AirAsia terlepas perbicaraan mahkamah sebanyak dua kali.

Menurut Nagendran, ketika di mahkamah dia berkata bahawa dia sendiri yang akan ke ibu pejabat syarikat penerbangan itu untuk melihat sesiapa yang boleh dipertanggungjawabkan bagi menjalankan proses tuntutan pembayaran semula tersebut.

Nagendran akhirnya bertemu pegawai undang-undang AirAsia dan menjelaskan situasi tersebut. Jelasna lagi, dia tidak akan menerima pilihan selain wang yang dibelanjakan.

“Saya tidak mahu sesiapa ditangkap hanya kerana sikap syarikat itu, namun ini wang saya. Ia hak saya untuk dapatkan bayaran balik wang yang saya belanjakan untuk perkhidmatan.

“Saya tidak tahu tentang masa depan saya, atau apakah saya akan ambil penerbangan dalam dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.

Kedatangannya itu berhasil apabila pegawai undang-udang itu kemudian memaklumkan bahawa pembayaran akan dibuat dalam tempoh tiga hingga tujuh hari bekerja.

Gembira segala penat lelahnya berhasil, Nagendran berkata wangnya dikembalikan dalam jangka masa yang dijanjikan.

Katanya lagi, meskipun terpaksa menghabiskan banyak masa dan tenaga sehingga berjuang ke mahkamah namun ianya perkara yang berbaloi.

SUMBER: MalaysiaNow