Ini Kronologi Bagaimana Zahid Hamidi ‘Cuci’ Wang

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan sebuah syarikat pengurup wang ‘mencuci duit’ yang diterima daripada sumber tertentu dengan cara menukar wang tunai kepada bentuk cek.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang juga saksi ke-95 memberitahu mahkamah bahawa siasatan SPRM mendapati proses penukaran wang tunai kepada cek bernilai RM7.5 juta membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri adalah aktiviti ‘mencuci duit’ dari sumber meragukan.

Mohd. Fahmee Mohamad Nor berkata, siasatan SPRM menunjukkan Marhaba Enterprise Sdn. Bhd. menerima arahan daripada Zahid untuk menukar wang RM7.5 juta kepada 35 keping cek atas nama Tetuan Lewis & Co.

Tetuan Lewis & Co. merupakan pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi yang mana Zahid adalah pemilik dan juga ahli lembaga pemegang amanahnya.

Dalam pada itu, Omar Ali Abdullah yang merupakan pemilik syarikat pengurup wang memaklumkan wang itu diterima daripada Yayasan Al Bukhary namun tidak mengenali individu yang menyerahkan wang tersebut.

“Omar Ali mengatakan bahawa beliau tidak mengenali individu yang memberi wang tersebut dan hanya memaklumkan orang itu berpakaian kemas dan ia adalah arahan dari Datuk Seri Zahid,” jelasnya.

Menurut Mohd. Fahmee, pihaknya tidak menjalankan siasatan mendalam terhadap Yayasan Al Bukhary mahupun merakam keterangan pengasasnya, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kerana Omar Ali ketika disoal siasat mengakui tidak mengenali Syed  Mokhtar.

Semalam, pegawai penyiasat SPRM itu memberitahu, Zahid menggunakan syarikat itu wang untuk menukar wang tunai daripada pelbagai pihak dalam bentuk cek bertujuan mengaburi transaksi wang yang tidak diketahui sumbernya.

Mengikut pertuduhan ke-27, Zahid didakwa telah mengarahkan Omar Ali untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7.5 juta melibatkan 35 keping cek wang tunai  yang kemudian diserahkan kepada Lewis & Co bagi membeli simpanant Tetap di Maybank yang merupakan hasil aktiviti haram.

SUMBER: Utusan