Ini Penjelasan Fipper Mengenai Isu Selipar ‘Muslim Friendly’

Sejak semalam hangat diperkatakan apabila selebriti popular Neelofa melancarkan selipar ‘Mesra Muslim’ bersama jenama selipar tempatan, Fipper, pada harga RM79.90 sepasang.

Bagaimanapun, ramai netizen mempersoalkan perkara itu yang tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan selipar itu mesra Muslim sedangkan sama sahaja dengan selipar yang ada di pasaran.

Tampil menjelaskan mengenai isu Muslim Friendly itu, pihak Fipper dalam satu kenyataan berkata ‘Mesra Muslim’ itu merujuk bahawa selipar itu sesuai digunakan oleh Muslimah yang memakai stokin.

Menerusi penjelasan itu, Flipper turut memohon maaf di atas kekeliruan yang berlaku serta mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memberikan sokongan.

Melihatkan penjelasan daripada Flipper itu, masih ada yang tidak berpuas hati serta memberi cadangan adalah lebih baik jika menggunakan ‘Socks Friendly’ atau ‘Muslimah Friendly’ bagi mengelakkan kekeliruan.

Ada sahaja isu hangat terpalit Neelofa sejak kebelakangan ini. Apa pun diharap selepas ini boleh memberi penjelasan terlebih dahulu mengenai ‘Muslim Friendly’ supaya tidak timbul salah faham seperti apa yang sudah berlaku.