Umum mengetahui, ketika ini program vaksinasi sedang giat dijalankan di seluruh Malysia. Bagaimanapun, ada individu mengambil kesempatan dengan menyamar sebagai doktor.
Menurut laporan, lelaki berusia 20 tahun itu didakwa menyamar sebagai seorang doktor di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di Kuching, Sarawak.
Lebih mengejutkan, tertuduh menyamar sebagai seorang doktor Hospital Umum Sarawak sekurang-kurangnya sebanyak 32 kali sejak 16 Jun hingga 1 Julai lalu.
Lelaki itu juga turut memiliki cop, kad nama, peralatan perlindungan peribadi, peralatan perubatan dan kelengkapan sendiri yang lain.
Penyamarannya terbongkar apabila berbual dengan doktor lain, di mana tertuduh mengatakan dia hanya berusia 20 tahun sekaligus menimbulkan keraguan.
Apabila ditanya polis, tertuduh berkata dia menyamar kerana berminat untuk menjadi doktor dan telah mempelajari perubatan secara dalam talian.
Memandangkan tertuduh berusia di bawah 21 tahun, tiada pengakuan direkodkan sementara menunggu laporan akhlak dikeluarkan.
Kes didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
SUMBER: MalaysiaKini