Ini Punca Lelaki Bunuh Isteri, Isi Dalam Tong & Tanam Mayat Guna Jengkaut

Misteri kehilangan seorang wanita yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam sebuah tong air di sebuah ladang pagi semalam.

Difahamkan, pada 1 Mac lalu pihak polis menerima satu laporan polis melibatkan seorang wanita berusia 38 tahun dilaporkan hilang.

Hasil siasatan mendapati, mangsa dikatakan keluar rumah pada hari tersebut lebih kurang 2 pagi selepas berlaku perselisihan faham dengan suaminya.

Pihak Polis Johor turut menyatakan suami mangsa mengaku telah menembak isterinya itu menggunakan senapang angin ketika sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi.

Lebih pilu, mayat wanita tersebut dimasukkan ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar sebelum ia dibawa ke sebuah ladang serai di Bandar Penawar kira-kira 30 kilometer dari rumah mereka untuk ditanam.

Menurut pihak polis, suspek turut menunjukkan lokasi isterinya ditanam kira-kira jam 10.30 pagi semalam. Mayat mangsa yang diisi di dalam tong ditemui tertanam sedalam dua meter.

Suspek dipercayai membawa tong biru itu menggunakan pacuan empat roda miliknya ke ladang tersebut dan ditanam menggunakan jengkaut dibantu oleh seorang rakan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata motif pembunuhan dipercayai disebabkan cemburu. Malah, polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

Polis berjaya menyelesaikan kes tersebut dalam tempoh tiga hari selepas laporan dibuat dan kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

SUMBER: Oh Bulan