Seorang lelaki berbangsa Cina yang dikenali sebagai Mohd Dylan Yap Abdullah, 24, atau nama sebenar Yap Sheng Wei nekad memeluk agama Islam selepas sering diberi petunjuk Allah.
Menurut Dylan, dia sering bermimpi ditauliah sebagai penceramah agama dan menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah yang akhirnya dia membuat keputusan untuk melafazkan dua kalimah syahadah pada 14 Mei tahun lalu.
Memetik laporan BH Online, Dylan juga mengakui sudah lapan tahun dia ‘jatuh cinta dalam diam’ terhadap Islam. Katanya lagi, dia mula tertarik dengan agama Islam ketika belajar di sekolah menengah lagi apabila rakannya pernah menghadiahkan sebuah buku mengenai kisah 25 nabi dan rasul.
Rakan hadiahkan buku kisah nabi & rasul
“Rakan meminta saya memahami apa yang ada dalam buku itu dan sehari demi sehari selepas membacanya, tarikan semakin kuat untuk mengenali dengan lebih mendalam mengenai Islam.
“Dalam buku itu ada dinyatakan mengenai peraturan dalam Islam, solat lima waktu dan segala yang baik mengenai Islam.
“Namun ketika itu pemahaman saya masih belum jelas dan tiada sesiapa yang boleh dirujuk sehingga tahun lalu saya diberi petunjuk oleh Allah melalui mimpi yang sama selama empat bulan membuatkan saya nekad memeluk Islam,” katanya.
Namun, tindakan Mohd Dylan masih belum diketahui secara jelas oleh ahli keluarganya. Tetapi, mereka hanya mengetahui hasratnya untuk bertukar agama sahaja.
Hasratnya untuk memeluk Islam ditentang hebat oleh ibu
Sebelum ini, dia pernah menyuarakan hasrat kepada keluarga untuk memeluk Islam tetapi ditentang hebat terutama ibunya yang beberapa kali mengugut untuk membunuh diri jika jika dia masih meneruskan niatnya itu.
“Bagaimanapun, percaturan Allah sudah ditetapkan saya tetap nekad memeluk Islam,” katanya.
Mohd Dylan berkata dia sudah pun bertunang dengan seorang gadis dari Klang, Selangor dan pada cuti perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini dia turut pulang ke rumahnya namun layanan yang diterima sangat menyedihkan dan tidak semesra dulu.
Namun dia hanya mendiamkan diri dan masih belum mengaku bahawa sudah memeluk agama Islam kerana risau akan tindakan ibunya.
Ada banyak masa terluang? Follow kami di Facebook & Instagram 🙂