Sejak dua hari lalu, tular mengenai nama Hanafi di media sosial. Ramai tertanya-tanya siapa Hanafi sehingga namanya menjadi bualan ramai netizen.
Malah, apa sahaja isu diperkatakan pasti ada netizen meninggalkan komen nama Hanafi. Tak pasal-pasal ramai Hanafi di Malaysia kena tempias.
Tidak kurang juga, hari ini tular perkongsian seorang wanita seolah mempertahankan ‘Hanafi’ dengan memuat naik 5 sebab kenapa ‘Hanafi’ curang.
Rupanya, baru-baru ini seorang wanita berjaya menangkap suaminya yang berlaku curang dengan wanita lain di rumah sewa mereka sebelum dia diceraikan.
Memetik laporan Kosmo, wanita itu meluahkan dia mula curiga dengan suaminya tiga hari sebelum kejadian berlaku pada 5 November lalu apabila suaminya sering memberi alasan bagi mengelak berjumpa dengannya.
Wanita itu berkata dia tergerak hati untuk memeriksa telefon suaminya dan lebih kecewa ada gambar dengan perempuan lain di dalam bilik tidur rumah sewa suaminya.
Kata wanita itu lagi, bekas suaminya ada menghubunginya beberapa hari lalu untuk memohon maaf namun dia belum dapat menerima permohonan maaf tersebut.
Kisah tular ‘Hanafi’ itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang mendoakan agar wanita itu tabah menempuhi dugaan.