Ini Rupanya Punca Kereta Kelisa Melawan Arus, Bahaya Betul!

Sejak petang tadi tular di media sosial video memaparkan sebuah kereta Kelisa bertindak melawan arus dari Plaza Tol Sri Muda, Lebuh Raya Kemuning Shah Alam (LKSA) kira-kira jam 5 petang.

Menerusi video tular di Facebook itu, perakamnya mengatakan seorang lelaki warga emas yang merupakan pemandu kereta Kelisa itu memandu sejauh dua kilometer dan telah melanggar kereta lain.

Memetik laporan Kosmo! warga emas berusia 73 tahun itu dipercayai bertindak melawan arus pulang gara-gara tidak mempunyai kad prabayar Touch n Go ketika melalui Plaza Tol Sri Muda untuk pulang ke rumahnya di Seksyen 8, Shah Alam.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, kejadian dikatakan berlaku apabila warga emas itu yang memandu sendirian dalam perjalanan menuju ke Pasar Raya Tesco di Seksyen 13 dari rumahnya.

Bagaimanapun lelaki tersebut telah tersalah jalan dan memasuki LKSA. Apabila tiba di Plaza Tol Sri Muda didapati warga emas itu tidak mempunyai kad Touch n Go lalu berpatah balik melawan arus untuk pulang ke rumah.

Tindakannya itu menyebabkan sebuah kenderaan Honda City dalam perjalanan ke Kota Kemuning terbabas selepas cuba mengelak. Warga emas berkenaan meneruskan perjalanan melawan arus dan kemudian berlanggar dengan Perodua Myvi di lebuh raya sama.

Difahamkan, akibat kemalangan itu pemandu kereta jenis Honda City yang cedera dibawa oleh rakannya ke Hospital Columbia, manakala pemandu Myvi dan lelaki warga emas tersebut tidak cedera.

Warga emas itu kemudiannya dibawa pulang ke rumahnya oleh orang awam sebelum anaknya membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk membuat laporan polis.

“Warga emas itu kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam di sini untuk pemeriksaan dan ditahan untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, menerusi satu perkongsian di Twitter, pemandu Myvi yang terlibat dalam kemalangan tersebut memuat naik status meminta orang ramai tidak mengecam pemandu Kelisa berkenaan memandangkan dia sudah tua dan mempunyai masalah ingatan.

SUMBER: Kosmo!