“Insiden Berlaku Semestar Lalu, Mesti Ada Perancangan Kenapa Dimuatnaik Semalam” – Naib Canselor UiTM

Sejak semalam hangat diperkatakan mengenai video tular seorang pensyarah menghina pelajar kerana tiada laptop serta memperlekehkan golongan B40.

Memetik laporan Harian Metro, Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pensyarah kontrak berkenaan susulan video tular itu.

Difahamkan, wanita berkenaan merupakan pensyarah kontrak di UiTM cawangan Seri Iskandar, Perak dan mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU).

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, pihaknya kini dalam penelitian termasuk tindakan yang akan diambil terhadap pensyarah berkenaan.

“Saya difahamkan insiden berkenaan berlaku pada semester lalu bagaimanapun ia baru ditularkan semalam. Isu ini mesti ada perancangan kenapa ia baru dimuatnaik semalam.

“Bagaimanapun, tindakan akan diambil dan untuk pelajar itu, kita sudah mengesan dan memberikan peralatan yang diperlukan (komputer riba),” katanya.

Dalam pada itu, Roziah berkata wanita berkenaan merupakan seorang pensyarah yang bagus dan ketika itu mungkin berlaku sedikit kesilapan berikutan tindakannya memarahi pelajar tersebut.

“Tindakan akan diambil tetapi saya tidak boleh jelaskan di sini. Dia adalah pensyarah kontrak dan ada laluan sebelum tindakan diambil.

“Semua pensyarah UiTM mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka dan saya harap orang ramai dapat bertimbang rasa terhadap staf dan pelajar saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata UiTM juga akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

SUMBER: Harian Metro