Isi Minyak Tengah Jalan, Netizen Panas Hati Dengan Geng Mustang

Baru-baru ini tular video di media sosial memaparkan beberapa beberapa buah kereta Ford Mustang dilihat berhenti di tengah jalan bersama geng yang lain dipercayai di sebuah jalan di Kuala Lumpur.

Dalam video tersebut, difahamkan sebuah kereta Mustang kehabisan minyak dan pemilik kenderaan tersebut dilihat sedang mengisi petrol di tengah jalan raya sambil dibantu oleh rakannya.

Turut kedengaran pemilik kenderaan itu memberitahu minyak keretanya habis kerana bulan ini sahaja sudah berhabis RM20,000 untuk road tax.

“Minyak habis lah bro. Bulan ni pokai, bayar road tax sahaja dah RM20,000 bro,” katanya.

Bagaimanapun, tindakan pemilik kenderaan itu bersama rakannya membuatkan netizen panas hati apabila membiarkan sahaja kereta di tengah jalan dan menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Kata netizen, boleh sahaja tolak kereta ke tepi dahulu untuk mengisi minyak. Malah, netizen mendakwa pemilik Mustang itu sengaja berhenti di tengah jalan kerana mahu merakamkan video demi konten.

Dalam pada itu, seorang netizen turut berkongsikan ‘benda pelik’ dalam video tersebut dimana botol minyak yang digunakan dalam video berkenaan adalah botol minyak hitam.

Kata netizen lagi, petrol yang diisi sangat sedikit dan tidak menggunakan corong jika benar mahu mengisi minyak sekaligus menyebabkan netizen mendakwa video itu dirakam hanya untuk konten semata-mata.

SUMBER: Twitter Abang Don