Isteri Salah Picit Ubat Gigi Punca Bergaduh, Seram Sangatkah Alam Perkahwinan?

Setiap pasangan yang berkahwin pasti impikan rumah tangga yang dibina kekal hingga ke akhir hayat. Namun, bila dah duduk serumah, tidur sebantal, barulah kenal perangai luar dalam masing-masing.

Seperti satu perkongsian tular di Facebook ini, hanya kerana isteri salah picit ubat gigi menjadi punca pasangan ini bergaduh.

Semuanya gara-gara si suami memicit ubat gigi dari bawah, manakala si isteri menekan mana-mana sahaja asalkan ubat gigi keluar.

Konflik berlanjutan sehinggalah pasangan itu bertemu dengan kaunseling untuk menyelesaikan masalah tersebut. Si isteri berkata ianya hanya masalah kecil, namun sebaliknya buat si suami ia adalah perkara besar serta mengaitkan dengan disiplin dan pemikiran.

Melihatkan kes tersebut, timbul persoalan seram sangatkah alam perkahwinan sehingga salah picit ubat gigi boleh jadi punca pergaduhan.

Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen yang menitipkan pesanan jika terjadi perkara sedemikian adalah lebih baik jika pasangan bersepakat.

Malah, ada yang memberi cadangan supaya mempunyai ubat gigi sendiri supaya tidak sakit mata melihat pasangan melakukan perkara tidak disukai.

Dalam pada itu, ada yang meninggalkan komen mengatakan perkahwinan adalah satu perkongsian dan jika ianya boleh mendisiplinkan atau membahagiakan rumah tangga tiada salahnya untuk bertolak ansur.