Isteri Sanggup Palsukan Kematian Suami Demi Wang Pampasan PERKESO RM26,000

Terdesak akibat kesempitan wang dan berhutang dengan Syarikat Pinjaman Wang Berlesen, sepasang suami isteri sanggup bertindak memalsukan kematian suaminya bagi mendapatkan pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagaimanapun tindakannya itu membawa padah apabila dia dan suaminya didakwa atas 15 pertuduhan memalsukan kematian di Mahkamah Majistret Kuching hari in

Tertuduh, Hamidah Talaha, 45 dan suaminya, Mansor Idris, 46, mengaku bersalah di atas semua pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibacakan terhadap mereka di hadapan tiga Mahkamah Majistret berasingan.

Difahamkan, Hamidah memalsukan kematian suaminya, Mansor dengan memperdayakan seorang pegawai eksekutif PERKESO Sarawak untuk mengeluarkan pampasan kematian berjumlah lebih RM26,000.

Suri rumah terbabit menerima wang pampasan secara berperingkat mulai 9 Ogos 2019 sehingga 1 Oktober lalu di pejabat PERKESO selepas dia menyerahkan sijil kematian suaminya (Mansor) yang dikatakan meninggal dunia pada awal 2019.

Hamidah menerima sejumlah RM7,061.02 pada Ogos tahun lalu manakala pada bulan berikutnya sehingga Oktober tahun ini, dia menerima sejumlah RM1,354.17 setiap bulan.

Bagaimanapun, perkara itu terbongkar pada 15 Oktober lalu apabila pegawai eksekutif PERKESO itu yang juga pengadu bagi kes berkenaan mengetahui dia ditipu selepas seorang pekerja Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang juga kenalan tertuduh (Mansor) memaklumkan tertuduh masih hidup.

Pihak PERKESO kemudian membuat semakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan JPN telah mengesahkan sijil kematian atas nama tertuduh namun tiada sebab kematian dipaparkan.

Pengadu yang merasakan tertuduh memalsukan sijil kematiannya dan seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Mahkamah menetapkan 3 November ini untuk menjatuhkan hukuman memandangkan pihak penjara mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ketat dan kini belum menerima sebarang banduan dalam langkah mengawal pandemik COVID-19.

Kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah RM30,000, sementara menunggu sebutan kes dan diarahkan melaporkan diri di balai polis berdekatan seminggu sekali, serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

SUMBER: BH Online