Isu Trademark ‘Harimau Menangis’, Ini Penjelasan Sebenar Ibu Neelofa

Sejak semalam hangat diperkatakan apabila ibu kepada selebriti terkenal, Neelofa iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohamed mendaftar nama produk makanan ‘Harimau Menangis’ sebagai hak ekslusif perniagaannya.

Bagaimanapun, perkara itu menimbulkan rasa kurang senang segelintir netizen apabila tular video beliau berkenaan pengakuannya bahawa nama tersbeut sudah didaftarkan.

Tidak mahu perkara tersebut berlarutan, Kartini tampil menjelaskan bahawa permohonan itu bukanlah merujuk kepada nama daging ‘Harimau Menangis’ namun hanyalah pada rekaan logo tulisan perkataan itu.

Kata Kartini lagi, mereka telah mendaftar rekaan ejaan untuk produk itu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan terutamanya produk tiruan.

“Pihak kami ingin memaklumkan bahawa permohonan tersebut adalah bersifat untuk melindungi penggayaan, susur atur grafik, kod warna dan tulisan perkataan ‘Harimau Menangis’ pada bungkusan produk.

“Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang produk tiruan dalam pasaran yang boleh menyebabkan masalah kepada jenama pihak kami dan pengguna di luar sana,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kartini memohon maaf di atas keterlanjuran katanya itu dan tidak menghalang mana-mana pihak yang ingin menjalankan perniagaan daging yang sama.