Isu UPSI & Ebit Lew Selesai, Bomba Sanitasi Bag & Bas

Beberapa hari lalu hangat diperkatakan mengenai salah faham antara pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berhubung inisiatif penghantaran pulang pelajar ke kampung masing-masing.

Ia berikutan pihak MPP UPSI mengeluarkan kenyataan mengenai tindakan pendakwah itu yang dikatakan tidak mengikuti Standard Operasi Prosedur (SOP) dan juga tidak mendapat kelulusan daripada pihak universiti.

Bagaimanapun, isu itu sudah pun selesai apabila kedua-dua pihak bertemu bagi menjelaskan perkara tersebut.

Menerusi posting terbaru di Facebook UPSI, difahamkan Ustaz Ebit telah mendapat kerjasama daripada pihak UPSI untuk menjalankan penghantaran pulang pelajar semalam.

“Alhamdulillah, penghantaran pulang pelajar UPSI dengan kerjasama dari Ustaz Ebit Lew berjaya dengan jayanya pada malam ini.

“Pada malam ini, sebanyak dua buah bas telah digunakan bagi penghantaran pulang pelajar ke negeri Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu),” maklum kenyataan tersebut.

Penghantaran pulang pelajar itu juga sama seperti yang dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimana pelajar perlu melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) dimana pihak bomba akan melakukan sanitasi pada bas dan sanitasi beg pelajar.

Malah, turut dilakukan saringan kesihatan serta pengambilan rekod suhu badan oleh Pusat Kesihatan.

Ustaz Ebit menerusi perkongsian di Facebook turut meluahkan rasa syukur semuanya bejalan dengan lancar serta beliau turut memberi sedikit duit poket buat para pelajar.

“Malam ni saya bersama Dato VC Upsi menghantar lagi 2 bas pelajar pulang dari UPSI ke Kelantan dan Terengganu.

“Saya beri sedikit duit poket buat pelajar. Esok pagi insyaAllah saya sediakan lagi 5 bas free dan mengikut keperluan pelajar. Saya sedia je insyaAllah mana-mana universiti lain yang memerlukan,” katanya.