Jaga Aurat Isteri, Netizen Puji Suami Hannah Delisha

Sejak mendirikan rumah tangga tahun lalu, pelakon dan penyanyi Hannah Delisha jarang sekali berkongsikan mengenai kehidupan rumah tangganya bersama suami di media sosial.

Bagaimanapun, baru-baru ini tular video di aplikasi TikTok dipercayai dimuat naik oleh peminat @hannahdelishas_loverss memaparkan pelakon itu dan suaminya, Iman Shah sedang berniaga di sebuah festival sempena Aidilfitri.

Apa yang menjadi perhatian, dalam video itu Iman dilihat sedang membetulkan tudung isterinya dengan menyelitkan helaian rambut di sebalik tudung.

Video itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang tersenyum melihat aksi pasangan berkenaan. Malah, ramai yang memuji pasangan itu tidak menunjuk mengenai rumah tangga buat tatapan umum.

Dalam pada itu, ada yang memuji sikap Iman yang sepatutnya dilakukan oleh seorang suami iaitu menjaga aurat isteri.

Tidak kurang juga, ramai yang memuji wajah kacak Iman dan mengatakan pasangan itu sememangnya sama cantik sama padan.

SUMBER: TikTok