Jho Low ‘Tikam Belakang’ Najib & Mengaku Hanya Pinjam Duit 1MDB

Umum mengetahui, sejak skandal 1MDB didedahkan melibatkan ahli politik terkemuka, seroang lagi individu merupakan mastermind dengan skandal berkenaan iaitu Jho Low masih lagi gagal ditangkap untuk disoal siasat.

Terbaharu, ahli perniagaan itu mendakwa dirinya tidak melakukan kesalahan sebaliknya sekadar meminjam wang daripada 1MDB.

Menurutnya, dia hanya meminjam wang berbilion dolar berkenaan daripada 1MDB untuk dirinya. Wang tersebut turut dibelanjakan untuk membeli hartanah mewah di seluruh dunia, karya seni, jet peribadi, kapal layar besar dan arak mahal.

Malah, Jho Low dilaporkan sedia memulangkan semula wang berkenaan, asalkan dia tidak didakwa di mahkamah.

Pengakuan Jho Low itu dibuat melalui rakaman perbualan telefon dengan bekas pegawai kerajaan di bawah pimpinan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang didedahkan melalui sebuah dokumentari disiarkan stesen penyiaran Al Jazeera.

“Semua ini sebenarnya hanya pinjaman, secara langsung atau tidak langsung, tetapi, akhirnya, saya rasa, masanya telah tiba, kami mahu membantu mengembalikan semula aset ini.

“Dan sebagai balasan atas kerjasama yang diberikan, kami mahu meneruskan kehidupan tanpa berdepan sebarang tuduhan,” katanya.

Bagaimanapun, dakwaan Jho Low yang kononnya hanya meminjam wang daripada 1MDB itu ditolak Debra LaPrevotte, yang terlibat dalam peringkat awal penyiasatan 1MDB dan kini menjadi penyiasat kanan NGO anti-kleptokrasi The Sentry.

“Jika benar ia tidak melibatkan sebarang salah laku, maka tidak perlu dipulangkan semula aset berkenaan, bukan? Sudah pasti tiada aset yang akan dirampas.

“Ini melucukan. Seolahnya, jika saya terus bercakap mengenai pembohongan ini, mungkin seseorang akhirnya akan mempercayai saya,” ujar LaPrevotte.

Dalam pada itu, Jho Low turut meletakkan kesalahan terhadap 1MDB dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan pada ketika itu.

Dakwanya, semua kelulusan melibatkan 1MDB dibuat Najib. Jho Low juga memberi sokongan kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, bahawa sebahagian besar daripada satu bilion dolar wang yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib bukan derma daripada Raja Arab Saudi Raja Abdullah, seperti didakwa bekas perdana menteri itu.

Menurut Jho Low, derma tersebut adalah hanya sebahagian kecil daripada jumlah tersebut. Bagaimanapun, sehingga kini , Jho Low masih diburu dan polis percaya ahli perniagaan itu masih berada di Macau, walaupun perkara itu dinafikan pihak berkuasa China.

SUMBER: Astro Awani