JKR Sarawak Dedah Kenapa Jeti Kayu Comel Bernilai RM50,000

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai jeti baru sepanjang 15 meter yang dibina di Kampung Mutap Miri Sarawak menelan kos sehingga RM50,000.

Rata-rata netizen terkejut dengan kos berkenaan yang dianggap tidak padan dengan hasil jeti yang dilihat kecil. Kata netizen lagi, dengan kos sedemikian sepatutnya sepatutnya hasilnya lebih gah.

Tampil menjelaskan dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri berkata selain menggunakan kayu belian, pelbagai faktor juga diambil kira. Ianya termasuk kos logistik selain faktor keselamatan dan keadaan jalan untuk ke kawasan berkenaan.

Katanya, kayu belian yang digunakan pula bernilai RM9,000 semeter, lebih rendah daripada kadar harga pasaran.

“Dengan bajet RM50,000, JKR Sarawak berjaya mereka bentuk jeti sepanjang 15 meter dengan dua tangga,” katanya.

Tambah pihaknya lagi, cadangan awal adalah untuk membina jambatan keluli, namun terpaksa ditolak disebabkan kos yang terlalu tinggi.

Susulan itu, Ketua Kampung, Mutap Sediah Abdullah memilih untuk membina jeti sepanjang 30 meter yang diperbuat daripada kayu belian lengkap dengan pondok sebagai ganti.

Bagaimanapun pihak JKR Bahagian Miri memaklumkan permintaan itu tidak dapat ditunaikan dan beliau perlu memohon peruntukan tambahan daripada wakil rakyat kawasan untuk pembangunan fasa kedua jeti itu.

“Semasa lawatan tapak dibuat pada 21 September 2021, Ketua Kampung memaklumkan sungai itu dipenuhi buaya dan kontraktor yang dilantik perlu mengambil langkah berjaga-jaga ketika melaksanakan kerja pembinaan.

“Antara faktor lain yang perlu diambil berat termasuklah akses jalan ke Kampung Mutap dimana permukaan jalan ladang yang sukar untuk dilalui,” katanya.