Jual Baju Pengantin Demi Tampung Pembedahan Ayah

Perkahwinan merupakan salah satu fasa dalam kehidupan yang membawa pelbagai kenangan terutamanya di hari persandingan. Melalui persandingan sedondon, pastinya busana yang dipakai sebolehnya akan disimpan sebagai kenangan.

BACA: 102 Hari Tak Berjumpa, Video Ibu Dan Anak Ini Buat Netizen Rindu Keluarga

Bagaimanapun, bagi Nora Syaffiqah Katin, dia sanggup menjual baju pengantinnya dengan harga RM800 demi menampung kos rawatan pembedahan bapanya yang kini terlantar di Hospital Umum Sarawak selepas terjatuh dari pokok di sebuah kebun di Miri.

Berpunca dari kemalangan itu, bapanya disahkan patah leher serta tulang belakang dan memerlukan pembedahan segera dilakukan.

“Jumlah kos pembedahan dianggarkan RM10,000 dan bakinya sedang diusahakan kami adik beradik. Walaupun baju pengantin ini sangat bererti buat saya dan suami, namun demi bapa kami sanggup berkorban, asalkan bapa sihat semula,” jelasnya kepada Harian Metro.

Menurut Nora, sehingga kini jumlah terkumpul untuk pembedahan bapanya mencecah RM3,000 selain turut berharap bantuan Baitulmal atau hospital untuk menampung lebihan kos pembedahan bapanya.

Jika anda ingin membantu Nora, boleh hubunginya di 016-5867003.