Jumpa Lipas Dalam Telur Dadar, Pelanggan Bengang Waiter Hanya Gelak

Kes terjumpa ‘bendasing’ dalam makanan bukanlah sesuatu yang baru sehinggakan hampir setiap dari kita pasti akan mengalaminya lebih-lebih lagi jika membeli makanan daripada luar.

Seperti yang tular baru-baru ini, seorang netizen mahu dikenali sebagai bunga berkongsikan gambar terjumpa lipas dalam salah satu hidangan yang dipesannya ketika menikmati makan malam di sebuah restoran di Kuantan, Pahang.

“Saya dari Kuala Lumpur, kebanyakan kedai makan penuh dan kedai ini saja tak ramai pelanggan. Saya pesan nasi bersama telur dadar, sup daging, ayam paprik dan minuman. Sejam kemudian, makanan sampai,” ceritanya kepada mStar Online.

Menurutnya, pada awalnya dia tidak perasan dan sangkakan warna hitam yang dilihat pada telur itu bahagian yang garing tetapi rupanya lipas.

Lebih mengecewakan, apabila aduan dibuat, pelayan restoran berkenaan hanya ketawa dan gantikan telur, sudu dan garfu dengan yang baru. Apabila ditanya bagaimana boleh ada lipas, dia berkata tidak tahu.

“Budak waiter tu hanya gelakkan saya dan gantikan dengan telur, sudu dan garfu yang baru. Bila tanya macam-mana boleh ada lipas dia cakap tak tahu.

Susulan itu, dia meminta untuk berjumpa dengan pemilik restoran berkenaan namun ketika itu hanya anak pemilik sahaja yang ada.

Malah, lebih bengang dia juga perlu membaayar makanan berkenaan dan diberi diskaun RM10 kerana makanan yang lain dalam keadaan baik.

“Saya minta jumpa owner tapi anak owner sahaja yang ada. Saya tanya nak kena bayar juga ke? Anak owner kata diskaun RM10 daripada jumlah asal semua makanan. Saya bayar atas apa yang saya makan sebab makanan yang lain okay, cuma telur ada lipas.”

Ujarnya, perkongsiannya di Twitter itu bukan untuk membuka aib atau menutup periuk nasi sesiapa tetapi rasa terpanggil untuk menekankan soal kebersihan dalam pengendalian makanan.