Sebut sahaja Nasi Kandar sudah pasti ianya sangat sinonim dengan negeri Pulau Pinang. Nampaknya ini bukanlah berita gembira buat peminat nasi kandar di negeri itu.
Sebuah restoran nasi kandar terkenal di Jalan Gurdwara, Georgetown dikenakan kompaun kerana gagal memastikan kebersihan premisnya.
Memetik laporan BH Online, restoran berkenaan didapati meletakkan makanan di atas lantai dan telur yang direbus juga didapati tidak dicuci dengan bersih.
Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Perlesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), M Bawani, restoran terbabit dikenakan dua kompaun bernilai RM100 setiap satu.
Difahamkan, terdapat dua lagi restoran nasi kandar kawasan yang sama masing-masing turut menerima tiga dan satu kompaun.
Ketiga-tiga premis itu menerima notis penutupan selama 14 hari bermula 20 Februari hingga 4 Mac susulan terdapat najis makhluk perosak di bahagian dapur dan tempat menyimpan barangan makanan.
“Satu daripada premis itu adalah kedai runcit namun didapati ia turut dijadikan sebagai kedai menjual makanan dan minuman.
“Pegawai kami juga menjumpai bangkai tikus di tempat menyimpan barangan jualan dan selepas dua minggu, pemeriksaan semula akan dilakukan terhadap semua premis berkenaan sebagai langkah penambahbaikan,” katanya.
Dalam pada itu, pihak MBPP berkata mereka kini giat menjalankan operasi pada setiap minggu, bagi menjamin keselamatan dan kebersihan makanan, selain mewujudkan kesedaran kepada semua pengusaha premis makanan di sekitar Pulau Pinang.
Ada banyak masa terluang? Follow kami di Facebook & Instagram 🙂