Kaki Dibelah Tapi Tiada Darah, 6 Doktor Pakar Tak Dapat Kesan Penyakit Misteri Ustaz Kazim Elias

Pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias yang mengalami sakit misteri sejak tahun lalu memaklumkan beliau masih meneruskan rawatan bersama enam doktor pakar.

Menurut Ustaz Kazim, meskipun enam doktor itu gagal mengesan penyakit misteri yang dihadapinya itu, beliau akan tetap meneruskan rawatan moden dan alternatif sebagai ikhtiar.

“Setakat ini sudah enam doktor pakar merawat saya, tapi sampai sekarang tidak dapat mengenal pasti penyakit sebenar yang saya alami.

“Memang itulah jawapan yang saya dapat setiap kali buat rawatan. Kalau diikutkan saya sudah mengikut semua prosedur mereka seperti membuat imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), ambil darah dan sampel spesimen.

“Jadi apabila mereka mengatakan tidak ada penyakit dan tiada masalah, saya okay dan teruskan dengan rawatan alternatif dan masih meneruskan rawatan itu ketika ini.

“Saya takut bila saya tidak pergi ke rawatan moden, nanti ada yang cakap tidak jumpa doktor pakar dan ada pula yang beri tindak balas lain pada hal saya sudah buat semua prosedur termasuk jalani beberapa pembedahan,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Kazim turut berkongsikan bahawa kakinya pernah dibedah hujung tahun lalu selepas mengalami bengkak teruk, namun doktor tidak menemui sebarang masalah.

“Sebab kaki dah bengkak sangat, jadi saya izinkan doktor untuk membelah (bedah) dan memeriksa keadaan saya.

“Bila dibelah tidak ada darah dan nanah. Bukti video saya ada tetapi masalahnya kalau tunjuk kepada media takut dikatakan saya cari propa (propaganda).

“Namun, itulah yang berlaku dan bukan saya tidak serahkan kepada rawatan pakar. Malah ada juga rakaman video, di mana kaki saya dibedah tidak keluar darah walhal saya dah makan ubat cair darah dan bila luka sikit pun keluar darah banyak sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Ustaz Kazim pernah membuat perkongsian video ‘live’ di laman Facebook miliknya pada Oktober tahun lalu memaparkan wajahnya yang kelihatan semakin cengkung dan susut.

Menerusi paparan itu, beliau mendedahkan mengalami perubahan fizikal yang ketara pada wajah terutama bahagian mata dan bibir.

Ujarnya lagi, dia dapat merasakan penderitaan yang dialaminya kini mungkin sihir yang berkaitan hasad dengki dan iri hati daripada pihak yang tidak suka akan dirinya.

SUMBER: Harian Metro