Kaki Dipotong, Wanita Ini Gigih Berniaga Di Shopee Jana Sales 4 Angka Setiap Hari

Meskipun kurang upaya, namun ia tidak mematahkan semangat wanita bernama Zeeda Aziz ini untuk berusaha mencari rezeki.

Menerusi satu posting di Facebook Kongsi cara jualan di Shopee (Malaysia), Zeeda berkongsikan mengenai keadaan hidupnya sebelum menjalani amputasi kaki kiri.

Kaki kirinya terpaksa dipotong kerana penyakit kanser yang dihidapinya. Ketika itu semua orang sekelilingnya mampu menangis mengenang nasibnya, namun tidak baginya yang tidak sabar untuk mencabar diri untuk terus maju kehadapan meskipun hanya satu kaki.

Menurut Zeeda, dia faham jika selepas kakinya dipotong tiada majikan yang ingin mengambilnya bekerja dan sudah memikirkan apa yang hendak dilakukannya.

Tidak berputus asa, Zeeda memulakan perniagaan online di Shopee meskipun hanya berjaya menjual satu barang sahaja pada bulan pertama.

Pada bulan kedua pula hanya mendapat 7 tempahan dan nilai jualan ketika itu hanya RM255 sahaja. Melihatkan nilai jualan tiada peningkatan, Zeeda berkata dia mengambil masa sebulan untuk mendalami asas berniaga di Shopee.

Kata Zeeda hampur semua kelas percuma di Shopee disertainya dan dari situ jualannya meningkat 497%. Siapa sangka, Zeeda kini sudah mampu mengambil beberapa pekerja untuk menguruskan perniagaan serta sales kini sudah mencecah 4 angka setiap hari.

Perkongsian Zeeda itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang kagum dengan kekuatan wanita berkenaan yang terus bangkit meskipun berdepan dugaan hebat.

Malah, ramai menjadikan wanita itu sebagai inspirasi untuk mereka terus berusaha dalam mencari rezeki.

SUMBER: Facebook Kongsi cara jualan di Shopee (Malaysia)