Kaki Pun Tak Sampai, Cubaan Kanak-Kanak Buat ‘Wheelie’ Jadi Bahan Kecaman Netizen

Baru-baru tular satu video di media sosial memaparkan individu dipercayai seorang kanak-kanak lelaki menunggang motosikal Honda EX-5. Bukan sahaja tidak memakai topi keledar, malah kanak-kanak itu juga cuba untuk melakukan ‘wheelie’.

Melihat saiz fizikal kanak-kanak itu yang lebih kecil daripada motosikal yang dinaikinya itu sekaligus menimbulkan kerisauan di kalangan netizen, malah ada yang mengecam tindakan itu sangat berbahaya.

Menerusi video berdurasi 18 saat itu, kanak-kanak lelaki berkenaan sedang berada di simpang untuk melintas jalan. Disebabkan kakinya tidak sampai, dia terpaksa berdiri di hujung tempat duduk untuk mengimbangkan motosikal itu.

Sebelum menyeberang jalan, sebuah kenderaan yang memasuki simpang jalan tersebut seakan ‘menegur’ tindakan kanak-kanak terbabit, namun tidak diendahkannya.

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen berpendapat ibu-bapa seharusnya lebih peka dengan kegiatan anak-anak dan tidak membenarkan mereka menunggang motosikal atau memandu apa-apa kenderaan.

Kata netizen lagi, tindakan itu bukan sahaja membahayakan nyawa mereka malah pengguna jalan raya yang lain.

Difahamkan, video tersebut telah dirakam di satu simpang tiga dan mendapati kejadian itu berlaku di Kampung Paya Chegar, Jitra semalam.

Terbaru, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata kanak-kanak itu sudah pun tampil menyerah diri petang tadi. Kanak-kanak berusia 10 tahun itu datang bersama bapanya berusia 50-an.

Mohd Ismail berkata, tindakan akan diambil berdasarkan kesalahan lalu lintas iaitu menunggang motosikal di bawah umur, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran.

Tindakan juga akan diambil terhadap warisnya mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor.

“Kanak-kanak lelaki itu kemudian dibebaskan selepas dikenakan tindakan saman atas kesalahannya,” katanya.

SUMBER: Harian Metro