“Kami Matang & Tahu Apa Yang Kami Inginkan Sebagai Pasangan Hidup”

Segala teka teki mengenai hubungan Noor Nabila dan Engku Emran akhirnya terjawab apabila pasangan itu sah bergelar suami isteri dalam majlis serba ringkas pagi tadi.

Menafikan desas desus mengikat tali pertunangan seperti didakwa sebelum ini, Nabila berkata dia mula mengenali suaminya pada Ogos lalu.

“Kami tidak bertunang seperti yang disangka. Saya mula mengenali Engku Emran sekitar Ogos, tahun lalu. Waktu itu, kami hanya berkawan.

“Kami mula rapat sekitar hujung tahun lalu. Malah, kami berkongsi minat sama dalam sukan berbasikal,” katanya.

Keduanya pernah berdepan kegagalan rumah tangga sebelum ini, Nabila berkata mereka semakin matang dan tahu apa yang diinginkan untuk rumah tangga.

“Kami pernah melalui pengalaman berumah tangga, sebelum ini. Jadi, kami agak matang dan tahu apa yang diinginkan sebagai pasangan hidup. Insya-Allah, kami akan buat yang terbaik dan sentiasa ada untuk satu sama lain,” katanya.

Terdahulu, Nabila mendirikan rumah tangga dengan Sharnaaz Ahmad namun bercerai pada Julai lalu secara hakam. Mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Jebat Jayden.

Engku Emran pula bercerai dengan Laudya Cynthia Bella, Julai tahun lalu, selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

Sebelum ini, Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga bersama aktres, Erra Fazira dan dikurniakan cahaya mata, Engku Aleesya Engku Emran.

SUMBER: BH Online