Kecoh Justin Bieber Batal Konsert, Iqbal Zulkefli Tawar Diri Boleh Ganti Menyanyi

Sejak Sabtu lalu, hangat diperkatakan apabila penyanyi antarabangsa, Justin Bieber memaklumkan mengalami lumpuh separuh wajah disebabkan sindrom Ramsay Hunt.

Susulan itu, konsert ‘world tour’ yang kini sedang berlangsung di beberapa tempat terpaksa dibatalkan memandangkan penyanyi itu memerlukan masa beberapa bulan untuk sembuh.

Malah, timbul desas-desus mengatakan konsert di Malaysia yang dijadualkan pada Oktober depan juga mungkin dibatalkan.

Apa yang pasti, ramai yang sedih kerana bimbang jika konsert benar-benar akan dibatalkan kelak kerana sudah bersusah payah untuk mendapatkan tiket.

Sementara itu, perkongsian mengenai perkara itu di Facebook Rotikaya turut mendapat perhatian usahawan kontroversi, Iqbal Zulkefli yang menawarkan diri untuk menggantikan Justin Bieber pada konsert itu nanti.

Malah, Iqbal meminta supaya memberi list lagu siap-suap kepadanya untuk dinyanyikan kelak.

Seperti sudah dijangka, komen Iqbal itu mengundang kritikan netizen yang memberikan komen sindiran agar dipendamkan sahaja bakat nyanyiannya itu.

Lebih pedas ada netizen mengatakan jika Iqbal mengadakan konsert secara percuma pun mereka tiada keinginan untuk pergi.

Dalam pada itu, ada juga netizen yang meluahkan rasa rindu untuk melihat Iqbal menyanyi serta mengatakan sememangnya Iqbal layak menggantikan Justin Bieber.