Keluarga Dakwa Suspek Seksa Kucing Pencinta Haiwan, Emosi Terganggu Sebab Tak Bekerja

Sejak semalam tular di media sosial video dirakam menerusi kamera litar tertutup memaparkan seorang lelaki tergamak membaling batu ke arah kucing sehingga menggelupur.

Difahamkan, kejadian berlaku di kaki lima bangunan premis di Taman Semeling Maju, Bedong dekat sini pada Sabtu lalu.

Memetik Kosmo! lelaki berusia 27 tahun itu telah pun ditahan di rumahnya di Kampung Pengkalan Merbok, Bujang, Merbok semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati suspek mendakwa mengalami gangguan emosi kerana tidak bekerja.

“Temu bual dengan ahli keluarga suspek pula memberitahu lelaki itu sebelum ini merupakan seorang pencinta kucing dan banyak memelihara haiwan tersebut di rumahnya,” katanya.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada esok (hari ini) untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut

Terdahulu, kucing tersebut telah diselamatkan dan di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah.

SUMBER: Kosmo!