Semalam hangat diperkatakan mengenai Allahyarham Abdul Aziz Aznam yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan kediaman sebuah kem tentera di Batu Pahat, Johor.
Arwah menghembuskan nafas terakhir petang Ahad lalu selepas sembilan hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kecederaan parah.
Difahamkan, pihak polis juga sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berikutan dakwaan keluarga bahawa mangsa berkemungkinan dibuli ketika di dalam kem.
Susulan insiden itu, abang kepada anggota tentera, Allahyarham Abdul Aziz iaitu Mohamad Amirulnaim Aznam mendedahkan mangsa sering mengadu kepada keluarga yang dia sering dibuli dan ragging ketika berada di kem.
Malah, arwah juga mengadu pernah ditumbuk dan mukanya digosok dengan berus besi sehingga luka.
Ekoran kejadian itu, mangsa menyatakan hasrat untuk menamatkan perkhidmatannya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika pulang ke kampung di Bandar Baru Putra, Bercham pada Januari lalu.
“Sewaktu pulang ke kampung, parut pada wajah adik saya itu masih berbekas. Parut itu akibat digosok berus besi. Abdul Aziz juga dakwa dia sering ditumbuk ketika berada di kem.
“Abdul Aziz ada menunjukkan gambar yang diambilnya terdapat banyak kesan lebam lama pada badan. Akibat tidak tahan lagi diperlakukan begitu, dia lari dari kem dan pulang ke kampung,” katanya.
Pada awalnya, keluarga menganggap ia bukan masalah yang serius dan menasihatinya untuk terus bertahan. Sepanjang berada di rumah, arwah kelihatan sangat ceria dan sering menolong ibu serta adik-beradik lain dalam urusan harian.
“Apabila dia menyatakan hasratnya sekali lagi mahu berhenti, kami akhirnya akur dan bersetuju dengan keputusan itu,” ujarnya.
Katanya lagi, anak bongsu daripada tiga beradik itu pulang semula ke kem pada 28 Ogos lalu untuk melapor diri sekali gus mahu menguruskan proses untuk menamatkan perkhidmatan dalam ATM.
Lebih menyentuh hati, sebelum kembali ke kem, Abdul Aziz telah menyimpan motosikal kesayangannya di dalam bilik seolah-olah itu petanda dia tidak akan pulang lagi.
“Saya bersama ibu yang hantar arwah sampai ke depan pintu kem, namun tidak sampai 24 jam saya terima panggilan kira-kira pukul 3 pagi (29 Ogos lalu) yang memberitahu adik terjatuh dari tingkat tiga bangunan.
“Pegawai tentera memberitahu bahawa pada pukul 12 tengah malam, adik saya telah dibawa ke hospital selepas cedera parah pada kepala dan dada,” ujarnya.
Reda dengan pemergian arwah adiknya, bagaimanapun Amirulnaim berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan yang adil berhubung kematian adiknya.
SUMBER: Kosmo!