Kena Rogol Dengan Abang Sampai Mengandung, Mak Ayah Halau Anak Perempuan

Baru-baru ini tular perkongsian seorang pengguna Twitter @chairman_GLC berkongsikan kejadian menimpa seorang pelajar berusia 13 tahun yang dirogol sehingga hamil oleh abang kandungnya.

Menurutnya, kejadian itu didedahkan oleh seorang doktor di Pantai Timur. Dalam perkongsian itu, mangsa yang kini hamil tujuh bulan telah dihalau dari rumah oleh ibu bapanya. Manakala, abangnya pula yang berusia 16 tahun dihantar ke sekolah pondok.

Katanya lagi, ibu bapa mangsa ada membuat laporan polis namun menarik balik laporan tersebut kerana bimbang anak lelaki mereka dimasukkan ke penjara.

Mangsa kini dikatakan tinggal bersama keluarga angkat yang baru dua bulan dikenali kerana ibu bapanya tidak mahu penduduk kampung mengetahui kejadian tersebut. Lebih menyedihkan, ibu bapa mangsa juga tidak melawat anak mereka sejak November 2021.

Ditanya mengenai perasanaanya, mangsa berkata dia marah dengan abangnya namun mengakui sedih kerana tidak dapat bersekolah seperti biasa.

“Ini semua bukan salah awak, saya berasa kasihan dengan awak dan bayi (yang dikandung). Semoga Allah memberikan kekuatan dan perlindungan kepada awak,” kata doktor itu.

Difahamkan, sudah ada individu yang bersetuju untuk mengambil bayi tersebut sebagai anak angkat.

Dalam perkongsian itu juga, pengguna Twitter itu memaklumkan perkembangan terbaru dimana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) turut dilibatkan dalam kes berkenaan. Dia juga diberitahu, laporan polis telah dibuat oleh pihak hospital dan klinik sebelum ini.

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang meluahkan rasa marah dengan kejadian menimpa mangsa.

Malah, ramai yang mempersoalkan tindakan ibu bapa tersebut yang seolah mengagungkan anak lelaki namun anak perempuan mereka dihalau.

“Saya tidak faham dengan orang yang mengagungkan anak lelaki, sayang tak mahu anak masuk jel, adik pula dicampak jauh-jauh. Bukan dia minta kena rogol,”  tulis seorang netizen.

SUMBER: Kosmo & Twitter chairman_GLC