Kerajaan Pertimbang Mereka Yang Sudah Lengkap Vaksin Rentas Negeri Jumpa Keluarga

Mengambil berat tentang keluhan rakyat, kerajaan sedang memperhalusi cadangan untuk membenarkan ibu bapa atau pasangan jarak jauh yang sudah lengkap dua dos vaksin diberi kelonggaran untuk rentas negeri bertemu keluarga.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata isu itu akan dibawa dalam mesyuarat MKN selepas melihat ramai menyuarakan keluhan pasangan jarak jauh atau ibubapa yang terpisah dari anak-anak kerana larangan merentas negeri.

“Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia.

“Walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama. Lebih-lebih lagi jika ibubapa berkenaan sudah pun menerima dua dos vaksin.

“InsyaAllah, kerajaan sedang memperhalusi cadangan ini bagi membolehkan pasangan & keluarga jarak jauh disatukan semula,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran untuk individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin akan dibincangkan dan diputuskan dalam masa terdekat.

SUMBER: Facebook Ismail Sabri