Kerajaan Setuju Undi 18 Tahun

Memberi peluang kepada golongan muda untuk menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerajaan menegaskan kelayakan mengundi usia 18 tahun akan diusahakan agar dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata komitmen terhadap perkara itu telah dibincangkan serta disahkan dalam mesyuarat Kabinet semalam.

“Kerajaan amat komited untuk melaksanakan umur kelayaan pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada 2019,” katanya.

Katanya lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan beberapa perkara lagi berhubung peruntukan undang-undang pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun.

Seperti diketahui, usul kelayakan mengundi 18 tahun telah pun diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dan mendapat sokongan 211 daripada 222 Ahli Parlimen.

Majoriti ahli parlimen menyokong pindaan perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan untuk menurunkan umur warganegara layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Ia termasuk meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan untuk menurunkan umur seseorang warganegara layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

SUMBER: BH Online