Kerana Dakwaan Menteri, Veveonah Teruk Dikecam & Dikutuk, Sedih Dituduh Penipu

Semalam hangat diperkatakan mengenai kenyataan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa Veveonah Mosibin yang viral terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet demi menjawab soalan peperiksaan adalah palsu.

Hasil saisatan kementeriannya mendapati Veveonah yang juga merupakan seorang Youtuber, sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.

Susulan kenyataan Timbalan Menteri itu, muncul beberapa individu yang merupakan rakan kepada pelajar berkenaan menyatakan bahawa Veveonah memang menduduki peperiksaan.

Berikutan pendedahan beberapa rakan pelajar itu, Datuk Zahidi Zainul Abidin kemudian tampil dengan satu kenyataan di Facebooknya mengatakan bahawa beliau telah menerima maklumat tidak tepat berhubung isu Veveonah.

Timbalan Menteri itu juga turut memohon maaf akan membuat pembetulan di Dewan Negara pada hari Isnin depan.

Berkongsikan kenyataan oleh Datuk Zahidi Zainul itu, Veveonah Mosibin menerusi Facebook meluahkan rasa kecewa dan sedih atas kenyataan Timbalan Menteri di Dewan Negara terhadap dirinya.

Menurut Veveonah Mosibin, dia bekerja keras untuk peperiksaannya dan tidak menyangka video pengalamannya sukar mencari capaian Internet sehingga perlu memanjat pokok akan tular.

Ujarnya, namanya kini menjadi perhatian semula namun bukanlah sesuatu yang baik. Katanya lagi, dia tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan komen negatif netizen di media sosial.

Namum dia maafkan kesemua kesalahan orang ramai terhadap dirinya serta
berterima kasih mereka yang tampil memberi sokongan pada dirinya.