Musim-musim PKP ini seronok tengok orang lain bina hobi baru. Ada yang memasak, ada yang belajar main gitar dan tidak kurang juga yang belajar gunting rambut sendiri. Selain itu, ada jugak yang mula bercucuk tanam.
BACA: PU Azman Backup Fizi Guna Hadis, Buka Mata Netizen
Bagaimanapun, kejadian yang berlaku di Alor Setar ini sedikit berbeza. Minat bercucuk tanam lelaki ini menyebabkan dia ditahan polis.
Ketika ditahan pihak polis, suspek berkenaan menyatakan bahawa tanamannya itu adalah pokok buluh — sedangkan pokok yang ditanamnya itu adalah pokok ganja. Lebih menarik lagi, ia ditanam di depan rumah.
Menurut laporan Astro Awani, lelaki berusia 38 tahun yang juga penganggur itu akhirnya mengaku bahawa ganja yang ditanamnya itu adalah untuk kegunaan sendiri.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, ketika ditahan penganggur berusia 38 tahun itu memberi alasan dia menyangkakan tanamannya itu adalah pokok buluh.
Bagaimanapun sebaik sahaja disoal siasat, dia mengakui menanam sendiri pokok ganja itu untuk kegunaan sendiri.
Selain ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif ganja, suspek yang dikenali dengan panggilan ‘Mat Tarzan’ itu juga mempunyai satu rekod kes lampau melibatkan dadah. Sementara itu, polis kini sedang menyiasat dari mana suspek mendapatkan benih pokok ganja berkenaan.