Kerana Video Asri Janggut, 3 Penguatkuasa MBSA Ditahan SPRM

Sejak beberapa hari lalu hangat diperkatakan mengenai pendedahan seorang peniaga burger yang juga pengasas Hot Burger Malaysia, Asri Janggut mengenai kegiatan haram yang berlaku di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.

Pendedahannya mengenai kewujudan kedai judi dan rokok seludup secara haram itu ternyata mengejutkan ramai pihak.

Memetik laporan Harian Metro, susulan pendedahan video itu, pagi tadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Penahanan itu tiga penguat kuasa itu dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen di sekitar kawasan Sungai Buloh.

Dalam operasi jam 9 pagi tadi tiga pegawai penguat kuasa berusia antara 41 hingga 49 tahun ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk memberi keterangan.

“Dua penguat kuasa dari Cawangan Sungai Buloh dan seorang daripada MBSA Shah Alam ditahan.

“SPRM turut menahan peniaga rokok seludup berketurunan Aceh seperti yang tular dalam video sebelum ini kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan akan diserahkan kepada pihak Imigresen bagi tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, sumber berkata peniaga itu beroperasi sejak 2019 lagi dan dikatakan membayar wang sebanyak RM300 sebulan kepada penguat kuasa bagi mengelakkan sebarang tindakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan itu dan tidak menolak ianya kutipan rasuah secara bersindiket dalam kalangan anggota penguat kuasa.

Beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti rasuah dalam kalangan penguat kuasa untuk tampil memberikan kerjasama. Identiti dan maklumat pemberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya.