Kes Remaja Dibunuh Hingga Putus Tangan, Polis Dedah Kisah Sebenar

Semalam kita dikejutkan dengan kes pembunuhan yang berlaku di Terengganu melibatkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun. Kejam dan tidak ada sifat perikemanusiaan langsung, itu yang dapat kami luahkan.

Terbaru, polis mengesahkan pihaknya menahan rakan sekolah kepada Allahyarham Siti Nur Surya Ismail yang ditemui meninggal dunia dengan kesan kecederaan parah di bahagian anggota badan semalam.

Memetik laporan BH Online, tangkapan wanita yang juga kenalan kepada Allahyarham dilakukan selepas dia hadir bersama ibunya ke Balai Polis Hulu Terengganu jam 8.15 pagi tadi.

Tangkapan terhadap suspek dibuat berdasar beberapa bukti yang ditemui di lokasi kejadian dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah burung berhampiran kediaman mangsa.

“Bagaimanapun, keterangan wanita terbabit mencurigakan selain terdapat beberapa kesan kecederaan termasuk gigitan pada lengan dan badan mangsa sebelum menahannya untuk siasatan lanjut jam 8.15 pagi,” katanya

Susulan penahanan itu, polis kemudian menjalankan siasatan di rumah suspek sebelum menemui beberapa barangan yang diambil daripada rumah mangsa termasuk wang tunai dan peralatan solek.

Katanya, sebelum kejadian, suspek dikatakan ke rumah mangsa dengan menaiki motosikal. Ketika bersembang di ruang tamu, berlaku salah faham yang menimbulkan kemarahan pada suspek sebelum berlaku pergaduhan.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan kejam itu hanya kerana tidak puas hati ekoran diperli mangsa.

“Ketika bergelut, suspek dikatakan mengambil pisau dapur yang ada di ruang tamu sebelum mengelar beberapa kali pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus,” katanya.

Suspek yang masih bersekolah di Tingkatan Enam ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302, Kanun Kesiksaan kerana membunuh. Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai bunuh dan bukan samun dan bunuh.

SUMBER: BH Online