Kisah Terbongkar, Lelaki Belasah Isteri Sampai Koma Rupanya Ada 3 Isteri

Baru-baru ini tular kisah seorang wanita yang sedang hamil dibelasah sehingga koma selepas dibelasah suaminya, mengundang kemarahan netizen.

Difahamkan, suaminya yang juga seorang peniaga telah pun ditahan seminggu lalu dan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

Tertuduh, Rosmaini Abd. Raof, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memukul isteri ketiganya yang sedang hamil hingga koma selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim V. M Mabel Sheela.

Mengikut kertas pertuduhan tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap, Jahidah Nordin@Sylvester, 43, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM30,000 berikutan kes itu serius selain memberi pengajaran kepada masyarakat.

Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminannya terhadapnya dikurangkan kerana menanggung tiga isteri dan tujuh anak.

Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin serta tertuduh diminta melapor diri di balai polis berhampiran dan diarahkan supaya tidak mengganggu mangsa.

Berita tersebut ternyata mengejutkan netizen apabila mendedahkan bahawa suspek mempunyai tiga isteri.

Dalam pada itu, netizen turut meminta pihak berkuasa memeriksa isteri-isteri yang lain sama ada turut dipukul atau tidak oleh tertuduh.

Terdahulu, mangsa yang hamil empat minggu itu parah pada kepala sehingga sebahagian tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suami.

SUMBER: Harian Metro