Kompaun RM10,000 Jika Ingkar PKP Mulai 11 Mac

Mereka yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac depan.

Menurut laman Pejabat Peguam Negara, perkara itu telah diwartakan hari ini di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000.

Seperti diketahui, denda sebanyak RM1,000 dikenakan kepada individu atau syarikat yang melanggar PKP.

Selain itu, mereka yang melakukan kesalahan Ordinan Darurat boleh ditangkap, manakala individu dijangkiti atau disyaki terkena jangkitan atau menjadi kontak pula boleh dipakaikan dengan peranti pengesanan.

Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 itu, diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, pada 11 Januari lalu.

Pemasyhuran ordinan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong selepas berpuas hati, bahawa tindakan serta merta dikehendaki bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Kadar kompaun terbabit dinaikkan, susulan penggantian Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya.

SUMBER: Harian Metro