Konon Nak Periksa ‘Dara’, Wanita Paksa Anak Saudara Jadi Pemuas Nafsu Suami

Sepatutnya menjadi pelindung, pasangan suaminya isteri sanggup bertindak keji menjadikan anak saudara perempuan mereka sebagai hamba seks sejak tiga tahun lalu di rumah mereka di Alor Gajah, Melaka.

Tindakan terkutuk pasangan itu berusia 39 serta 37 tahun yang bekerja sebagai pembekal sate itu terbongkar selepas mangsa berusia 18 tahun tampil membuat laporan polis pada Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata mangsa dijaga oleh adik kepada emaknya sejak berusia 10 tahun selepas ibunya meninggal dunia.

Kejadian berlaku pada Oktober 2018 kira-kira jam 5 pagi apabila mangsa dipanggil oleh ibu saudaranya masuk ke bilik untuk memeriksa sama ada remaja terbabit masih dara atau sebaliknya.

“Selepas itu mangsa kemudian disuruh melakukan hubungan seks dengan bapa saudaranya yang juga suami wanita terbabit.

“Kejadian itu didakwa berlaku dalam pengetahuan ibu saudaranya namun wanita terbabit tidak mempedulikannya.

“Kali terakhir mangsa dikatakan dirogol adalah pada bulan ini sebelum dia tampil membuat laporan polis,” katanya.

Pasangan suami isteri itu diberkas pada 18 dan 22 Julai lalu di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

SUMBER: Harian Metro