Konon Nak Viralkan Salah Orang Tapi Sendiri Tak Tahu Fungsi Smart Lane

Tidak dinafikan setiap kali jalan sesak, pasti akan ada pengguna jalan raya tidak bertanggungjawab menggunakan laluan paling kiri iaitu lorong kecemasan.

Namun jika terlalu sesak, lorong kecemasan itu akan dijadikan sebagai smart lane untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Baru-baru ini tular perkongsian seorang netizen yang mempersoalkan apabila ramai pengguna jalan raya menggunakan luluan kecemasan di lebuh raya Bukit Raja selepas Setia Alam dan sebelum Bukit Jelutong.

Malah, netizen itu seolah menyindir sejak bila pula lorong kecemasan sudah menjadi lorong keempat sehingga penuh lorong berkenaan.

Perkongsian individu itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen lain yang mengecam teruk video yang dimuat naiknya itu.

Malah, ada seorang netizen memuat naik status menyindir semula individu tersebut dengan mengatakan mungkin dia tidak tahu tentang Smart Lane.

Dakwa netizen itu lagi, individu tersebut kononnya nak viralkan tentang pengguna jalan raya lain namun akhirnya terviral mengenai ‘kebodohan’ sendiri.

Untuk pengetahuan anda, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebelum ini memperkenalkan ujian smartlane bagi mengatasi aliran kesesakan trafik NKVE di laluan Setia Alam ke susur keluar Plaza Tol Shah Alam mulai 23 Oktober 2019.

Memetik laporan Harian Metro, langkah itu bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan bagi membantu melancarkan aliran trafik sekali gus mengurangkan kesesakan laluan antara Setia Alam ke Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada pagi waktu puncak.

Dengan pelaksanaan ‘smartlane’, ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan pada waktu puncak di laluan Setia Alam-Shah Alam sebanyak 30 hingga 40 peratus sekiranya aliran trafik lancar tanpa sebarang insiden seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan.