Tular gambar seekor kucing ditemui mati tersepit dalam keadaan menyayat hati di sebuah bank di Taman Tampoi Utama awal pagi tadi dipercayai angkara perbuatan khianat.
Persatuan Haiwan Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook memberitahu, kejadian itu disedari orang awam pukul 3 pagi sebelum memaklumkan kepada persatuan tidak lama kemudian.
Katanya, kematian kucing itu seperti sengaja dilakukan dengan cara menahan kucing sewaktu ‘roller shutter’ sedang turun secara perlahan untuk menutup pintu ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
“Kucing tidak akan tunggu di satu lokasi jika berlaku bunyi bising. Sudah tentu bunyi ‘roller shutter’ kuat sewaktu turun akan memeranjatkan kucing dan haiwan itu akan berlari pergi.
“Kejadian ini seolah-olah badan kucing itu sengaja ditahan hingga lehernya tersepit,” menurut kenyataan tersebut.
Kata persatuan itu lagi, pihaknya percaya kejadian berlaku pukul 12 tengah malam kerana itu adalah waktu penutupan ‘roller shutter’ secara automatik.
“Setiap bank akan menutup pintu ‘roller shutter’ ATM pada pukul 12 tengah malam dan hanya membukanya semula pukul 6 pagi,” tulis kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, persatuan tersebut mengharapkan rakaman kamera litar tertutup daripada pihak bank untuk mengetahui kejadian sebenar serta memohon saksi kejadian untuk berkongsi maklumat agar pelakunya dapat dikesan.
SUMBER: Kosmo!