Lebih 15 Pelajar UiTM Dakwa Pensyarah Lakukan Gangguan Seksual

Hangat diperkatakan di media sosial apabila beberapa pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil mendakwa seorang pensyarah Pusat Asasi (CFS) melakukan gangguan seksual.

Memetik Says.com, lebih 15 mangsa menghubungi mereka serta menyertakan paparan skrin mesej perbualan mereka dengan pensyarah tersebut yang didakwa melakukan gangguan seksual.

Difahamkan, isu tersebut timbil apabila netizen membincangkan mengenai melanjutkan pelajaran ke universiti terutama pelajar yang baru sahaja mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Ketika membincangkan mengenai melanjutkan pelajaran di CFS UiTM Dengkil, beberapa netizen memberi amaran untuk mengelakkan diri daripada seorang pensyarah ini namun tidak disebutkan nama.

Malah, pelajar dan bekas pelajar juga mula berkongsikan kisah mereka dengan pensyarah berkenaan.

Pelajar terlibat menghantar bukti mesej perbualan menjijikkan pensyarah tersebut pada Says.com. Lebih mengejutkan satu mesej memaparkan pensyarah tersebut turut mengatakan tidak dapat mengelakkan matanya daripada melihat buah dada pelajar wanita.

Tidak hanya setakat itu, beberapa bekas pelajar mendakwa pensyarah berkenaan akan mengajak mereka keluar makan atau memberikan hadiah bunga dan barangan lain termasuk pakaian dalam.

Seorang individu turut mendakwa bahawa pensyarah tersebut mengaku melakukan ‘fun business’ dengan pelajar di dalam pejabatnya di Dengkil.

Dakwa seorang bekas pelajar lagi, pensyarah tersebut turut mengatakan mahu membelikan hadiah kondom untuknya kemudian mahu membelikan pakaian dalam dan mahu melihat pelajar itu memakainya.

Dalam pada itu, pihak UiTM memaklumkan pada Says bahawa mereka akan menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada ia melibatkan siasatan polis atau siasatan dalaman pihak UiTM enggan mengulas lanjut.

SUMBER: Says.com