Kebiasaannya jika di bandar, bahagian dapur terletak di belakang dan sering terlindung daripada dilihat orang. Namun, di kampung kawasan dapur boleh dilihat di mana-mana sahaja, dan adalakanya di tepi jalan.
Menerusi perkongsian portal media ini, seorang netizen berkongsikan pengalaman lucunya apabila tersalah masuk dapur rumah orang.
Mohd Kharbi berkata ianya berlaku ketika dia melakukan aktiviti berbasikal di Terengganu baru-baru ini. Menurutnya, rumah tersebut tidak ubah seperti sebuah kedai makan.
Ujarnya, perkara itu berlaku mungkin kerana dia terlalu penat dan lapar setelah mengayuh lebih 70 kilometer sehingga tersilap masuk rumah orang yang disangkakan kedai makan.
Lebih menghairankan, layanan turut diberikan apabila pemilik dapur tersebut mendhidangkan nasi untuknya seperti di kedai makan.
Perkongsian Mohd Kharbi itu turut mendapat perhatian netizen yang turut tertanya-tanya bagaimana lelaki itu boleh salah makan di rumah orang.
Menjelaskan keadaan dapur rumah rumah tersebut, Kharbi berkata dapur rumah tersebut terletak di bahagian hadapan dan jenis terbuka. Ujarnya, dapur tersebut mempunyai meja makan kayu dan ada beberapa orang sedang makan sama seperti di kedai makan.
“Ini dapur tapi dekat bahagian hadapan, terbuka pula tu. Ada meja makan kayu, sebiji macam kedai ada 2-3 orang tengah makan. Selambe je minta nasi dagang, makcik tu siap sendukkan.
“Memang layanan macam dekat kedai. Makan sambil sembang-sembang, bila nak balik tanya la berapa. Tu yang dia cakap tak payah bayar sebab bukannya kedai,” katanya.
Perkongsian tersebut tular di media sosial dan rata-rata netizen terhibur dengan kisah tersebut. Malah, ada yang memuji tuan rumah berkenaan yang tidak lokek untuk sempoi dan tidak lokek berkongsi rezeki dengan ‘tetamu’.