Setiap kali hari raya, tak lengkap rasanya tak dengar lagu raya Sesuci Lebaran daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Bagaimanapun, baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang lelaki mendakwa lagu raya itu sebagai toksik kerana lirik ‘bantulah miskin hina’ seakan menghina golongan miskin.
Susulan video lelaki itu, pengacara dan juga penulis lirik Ahmad Fedtri Yahya tampil memberikan pendapatnya.
Menurut Fedtri, lirik lagu yang disampaikan bukan bermaksud menghina golongan yang kurang berkemampuan tetapi ia hanya perkataan yang menunjukkan bahawa miskin itu taraf lebih rendah dari kaya.
“Bagus juga bangkit isu miskin hina ini. Bukan bermaksud kita hina, kutuk, ‘insult’. Itu bukan ya, Tapi menunjukkan bahawa merendahkan diri dan status sosialnya.
“Dalam doa pun kita digalakan untuk menghinakan diri kepada Allah, bermaksud kita rendahkan diri kita untuk memohon sesuatu yang terbaik, Hidayah ke, Taufiq ke atau keampunan.
“Kita menghinakan diri kepada Allah. Bermaksud kita betul-betul letakkan diri kita di taraf yang bawah, di atas hanya Allah yang berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Fedtri turut meminta supaya lebih banyak membaca kerana Bahasa Melayu boleh membawa banyak maksud.
“Kena banyak membaca kerana Bahasa Melayu ini banyak maksud, kiasan dan falsafah di sebalik perkataan,” katanya.
Difahamkan, video yang dimuat naik lelaki tersebut sudah pun dipadam selepas mendapat kecaman dari netizen.
SUMBER: TikTok