Perkahwinan sememangnya indah namun ada pasang surutnya kerana setiap pasangan perlu ada tanggungjawab serta pengorbanan.
Jika sebelum berkahwin hampir setiap hari melepak dengan kawan-kawan, perkara itu perlu dikurangkan selepas berkahwin lebih-lebih lagi jika sudah mempunyai cahaya mata.
Namun, ada yang seolah tidak dapat menerima hakikat kehidupannya ketika bujang disekat hanya kerana sudah ‘menyediakan’ secukupnya untuk anak isteri.
Baru-baru ini tular perkongsian seorang lelaki yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila diganggu oleh isterinya yang asyik menghubunginya ketika melepak dengan kawan.
Malah, lelaki itu tergamak mengatakan isterinya tidak mempunyai hati perut kerana menggangunya sehingga dia dibahan oleh kawan-kawan. Susulan perkongsiannya yang tular di media sosial itu, dia dikecam teruk oleh netizen.
Difahamkan, tular satu lagi perkongsian dipercayai dimuat naik oleh lelaki itu yang berang apabila statusnya itu tular dan ‘dibantai’ oleh netizen.
Mungkin rasa tercabar dengan apa yang berlaku dan merasakan dirinya betul, lelaki itu berkata sudah menjadi tanggungjawab isteri untuk melahirkan dan menjaga anak.
Jelasnya lagi, dia sudah menyediakan segala makan minum dan tidak faham apa lagi yang isterinya mahukan.
Lebih mengejutkan, lelaki tersebut bengang di atas apa yang berlaku sehingga mahu melepaskan isterinya.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang kesal dengan tindakan lelaki itu yang mengugut untuk melepaskan isterinya.
Kata netizen, tiada masalah untuk melepak dengan kawan-kawan namun perlu berkomunikasi dengan isteri serta tidak lepas tangan dalam hal rumah tangga.
SUMBER: Twitter