Tidak dapat bayangkan perasaan jika anak-anak tidak dapat berada di sisi ibu bapa menatap wajah mereka buat kali terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Baru-baru ini tular video anak-anak yang hanya meraung dan meratap menerusi panggilan video apabila ibu mereka dipercayai pesakit Covid-19 sedang dirawat di hospital.
Lebih sebak, ada di antara anak-anak menangis teresak-esak meminta ibunya bangun dan membuka mata. Malah, ada yang mengajar ibunya yang sedang tenat mengucap dua kalimah syahadah
Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku di Hospital Shah Alam dan wanita itu dilaporkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Seorang lelaki dipercayai menantu kepada wanita itu berkongsi mengenai pemergian ibu mentuanya di media sosial untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang virus membawa maut itu.
“Hari ini 24 Mei pukul 4.45 pagi tadi, ibu mentua kesayangan saya telah kembali ke rahmatullah. Meninggal dunia di Hospital Shah Alam. Arwah meninggal sebab Covid-19. Tiga minggu dalam ICU (unit rawatan rapi) sebab sesak nafas perlukan bantuan oksigen.
“So, (jadi) punca kene (dijangkiti) Covid adalah kerana kakak ipar dapat melalui kawan ‘office’ dia. Kakak ipar jumpa mak mentua saya cium tangan dan berborak (berbual) rapat-rapat. Bila kakak ipar pergi buat ‘swab test’ positif (Covid-19).
“Bawa mak mentua pergi ‘test’ terus positif. Boleh bertahan tiga minggu sahaja selepas itu meninggal dunia. Jadi hati-hati kawan-kawan semua ya,” katanya di dalam tangkap layar yang dikongsikan di media sosial.
Menurutnya, doktor akan membuat panggilan video kepada ahli keluarga apabila tahap oksigen pesakit terlalu rendah, berikutan mereka tidak dibenarkan melawat pesakit di hospital.
SUMBER: Harian Metro