Makan Sotong Sampai Harga RM100, Ramai Netizen Pernah Terkena?

Baru-baru ini tular di media sosial memaparkan resit menu makanan di restoran nasi kandar terkemuka yang didakwa mengenakan harga tidak masuk akal apabila harga bagi dua ekor sotong goreng dikenakan RM100.

Difahamkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan notis pengesahan maklumat barangan terhadap pengusaha restoran nasi kandar terkemuka di Georgetown itu.

Malah, selepas isu itu tular, tiga pegawai penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang telah ke restoran berkenaan di Lebuh Campbell Rabu lalu bagi menjalankan pemeriksaan.

Notis berkenaan dikeluarkan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 bagi mendapatkan maklumat serta harga kos dan jualan bagi sotong goreng terbabit.

Sementara itu, di Facebook Nasi Kandaq Hunters, ada segelintir netizen berkata mendakwa harga dikenakan untuk lauk seafood di restoran tersebut harga kayangan.

Namun ada yang meluahkan rasa tidak puas hati, bukan kerana harganya yang mahal tetapi tidak kira sama ada ambil lauk sedikit atau banyak, harga dikenakan tetap sama.

Tidak kurang juga ada yang memberi nasihat jika nak mengambil lauk udang atau sotong lebih baik bertanya dahulu tentang saiz dan harga supaya tidak terkejut apabila hendak membayarnya.

Dalam pada itu, ada yang membandingkan harga sotong yang dijual di pasar murah tetapi apabila makan lauk yang sudah siap harga terus jadi dua kali ganda.

Sementara itu, Pengarah Restoran Hameediyah Lebuh Campbell, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim menjelaskan, harga kesemua makanan dijual di restoran itu disenaraikan dengan jelas termasuk hidangan sotong yang dijual antara RM10 dan RM150.

“Saya yang mengambil pesanan individu ini dan pasangannya. Mereka telah membungkus sotong goreng untuk dibawa pulang selain nasi beriani, nasi putih, telur masin, sebungkus papadom dan hidangan timun.

“Sotong goreng ‘apollo’ ini tidak murah. Kami sendiri membelinya pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram, malah harga di pasaran sentiasa berubah-ubah,” katanya.

SUMBER: Sinar Harian