“Malaysia Tidak Akan Tunduk Tuntutan Terhadap Sabah”

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Malaysia tidak akan tunduk terhadap mana-mana tuntutan terhadap negeri Sabah. Ujarnya, Sabah akan tetap kekal dalam Malaysia.

Beliau berkata lagi, tiada kompromi terhadap apa sahaja isu melibatkan kedaulatan negeri itu dan akan mempertahankan Sabah sehingga ke akhir.

“Baru-baru ini ada kenyataan daripada pihak Filipina nak buat peta baharu yang antaranya telah dimasuk dalam passport…saya tak nak cakap panjang, kita tidak akan tunduk dengan tuntutan ini. Sabah kekal dalam Malaysia. Sabah sebahagian daripada Malaysia.

“Jangan ada usaha untuk menarik Sabah keluar dari Malaysia dan jangan ada usaha orang lain daripada Malaysia, menuntut Sabah untuk menjadi sebahagian daripada wilayah mereka.”

Isu tuntutan Filipina terhadap Sabah timbul semula apabila Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina dilapor membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah dalam pasport negara itu.

Tindakan itu dianggap sebagai satu bentuk provokasi Manila berhubung tuntutannya terhadap Sabah.

Malah, turut tular peta Sabah tertera bendera Filipina yang dikatakan sebagai wilayah ke-14 negara itu dengan nama setiap kawasan disebut dalam bahasa Filipina.

SUMBER: Bernama