MBSA Dakwa Pernah Tawar Tapak Gerai Tapi Ditolak Asri Janggut

Sejak beberapa hari lalu hangat diperkatakan mengenai pendedahan oleh Pengasas Hot Burger Malaysia, Asri Janggut mengenai kegiatan haram pusat judi dan rokok seludup yang berlaku di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.

Susulan pendedahan tersebut, sejak semalam pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melakukan ‘pembersihan’ besar-besaran merobohkan premis peniagaan tanpa lesen.

Namun kenyataan oleh pihak MBSA ini ternyata mengejutkan apabila pihak mereka mendakwa pernah menawarkan Asri Janggut tapak gerai sementara namun ditolak oleh Asri Janggut.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata Asri dikatakan menolak tawaran tersebut dan tetap meneruskan perniagaan di bahu jalan yang menimbulkan isu keselamatan serta lalu-lintas sehingga tindakan diambil.

“Untuk makluman, tindakan penyitaan itu diambil berikutan peniaga berkenaan meninggalkan peralatan perniagaan selepas selesai melakukan aktiviti perniagaan sehingga menyebabkan masalah lalu-lintas dan juga keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, MBSA sudah dua kali melakukan tindakan sitaan terhadap peniaga sama dalam tempoh dua bulan selepas teguran dan nasihat tidak diambil peduli.

“Sebelum ini, pihak MBSA sudah memberikan teguran dan nasihat kepada peniaga itu agar tidak meninggalkan peralatan selepas selesai melakukan perniagaan, namun teguran tidak diendahkan,” katanya.

Terdahulu, MBSA menjelaskan tindakan menyita barangan perniagaan peniaga burger di Sungai Buloh dilakukan selepas teguran dan nasihat tidak diendahkan.

SUMBER: Harian Metro