Sejak beberapa hari ini kes COVID-19 di Malaysia mencatatkan peningkatan mendadak dan lebih mengejutkan, hari ini sahaja kes melonjak naik kepada 432 kes baharu sekaligus mencetuskan kebimbangan rakyat.
Susulan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengingatkan rakyat supaya tidak terus leka dan alpa mengamalkan norma baharu bagi mengekang penularan wabak Covid- 19.
Kata beliau lagi, orang ramai sedar dengan punca dan cara mengekang jangkitan virus ini sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.
Ujarnya, ketika itu ketika itu masyarakat peka dan mendengar nasihat penjagaan diri, mencuci tangan, mengamalkan penjarakan fizikal sosial, mengelak 3S, iaitu kawasan sesak dan sempit serta bersembang atau bertutur dalam jarak yang dekat.
Bagaimanapun, beliau mengatakan amalan tersebut masih lagi belum menjadi budaya berikutan masih terdapat masyarakat yang bersesak-sesak ketika membeli belah serta tidak memakai pelitup muka.
“Bagaikan tidak takut maut. Mereka hanya risau dan takut apabila mendengar kes meningkat dan bila ada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tempat-tempat tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) yang sebelum ini berkesan dalam memerangi wabak denggi akan diaplikasi dalam memerangi wabak Covid-19 di seluruh negara.
Menurutnya, sukarelawan COMBI di seluruh negara akan digerakkan bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap norma baharu dalam kalangan masyarakat.
SUMBER: Harian Metro