Menteri Mohon Maaf Langgar SOP, Pulangkan 4 Bulan Gaji

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memohon maaf kepada rakyat Malaysia, berikutan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menerusi satu kenyataan sebentar tadi, beliau juga akan memulangkan empat bulan gajinya sebagai menteri untuk disumbangkan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19).

Katanya lagi, beliau urut berjanji akan terus bekerja keras dan melipatgandakan lagi segala usaha dan tenaga untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai menteri.

Sebelum ini Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendakwa, Mohd Khairuddin tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang daripada kunjungan ke Turki.

Mohd Khairuddin dilaporkan pulang dari Turki pada 7 Julai dan sampel nasopharyngeal swab kali pertama telah diambil pada hari yang sama dan didapati negatif. Ujian saringan Covid-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif.

Susulan itu, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu dikecam pelbagai pihak kerana menteri sendiri tidak mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa, serta mengingkari arahan kuarantin.