Mohon Maaf Kepada Khairul Aming, Doktor Mahu Influencer Makanan Pamer Kalori

Pakar kesihatan, Dr Rafidah Abdullah memohon maaf kepada  Khairul Aming di atas kenyataan kononnya pempengaruh media sosial itu tidak mengutamakan kesihatan dalam masakan.

Menerusi satu perkongsian di Twitter, Dr Rafidah berkata ramai yang menyalah anggap ciapannya itu serta berharap influencer yang lain selepas ini supaya mempamerkan kandungan kalori dalam video.

“Saya mohon maaf kerana saya nampak ramai yang salah anggap yang saya menuduh Khairul Aming merosakkan kesihatan rakyat Malaysia, dan dua ayat terakhir saya sepatutnya di perenggan yang lain.

“Bagaimanapun, harapan saya video atau ‘content‘ mana-mana ‘influencer‘ (pempengaruh) ada tertera kandungan kalori,” tulisnya.

Dalam pada itu, Dr Rafidah menjelaskan dia tidak menuduh sesiapa serta mengatakan bahawa kesihatan adalah tanggungjawab diri individu.

“Saya tidak menuduh siapa pun. Kesihatan anda adalah tanggungjawab diri anda. Tapi saya perlu memberi pendapat profesional saya tentang apa yang saya lihat.

“Alhamdulillah sekarang ramai dah sedar sambal sangat banyak kalori. Nak makan, makan secubit dua sudah memadai,” tulisnya.

Semalam, salah satu resepi Khairul Aming iaitu sambal hijau bilis dan telur dadar ditegur oleh Pakar Perubatan, Dr Rafidah Abdullah.

Menerusi laman Twitter, Dr Rafidah meminta supaya pempengaruh popular itu menyediakan resipi sihat kepada orang ramai.

Dr Rafidah turut meluahkan rasa bimbang apabila melihat kuantiti minyak digunakan cenderung kepada kehidupan tidak sihat.